Oleh : Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad (Pengarah Urusann MAP Training  & Consultancy Sdn. Bhd/Presiden  Pertubuhan Perunding Latihan dan  Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin)
MALU bertanya sesat jalan, tetapi ia banyak berlaku dalam masyarakat kita. Kita lebih rela membiarkan diri tidak faham dan tidak tahu daripada dilabelkan bodoh serta ditertawakan. Bukan saja anak malu dan takut bertanya, orang dewasa pun sama.
Budaya malu dan takut bertanya ini berterusan dari satu generasi ke satu generasi hingga memberikan kesan negatif.
Di sekolah, anak malu bertanya pada guru walaupun tidak faham. Ini  memberi kesan dalam pembelajaran dan menjejaskan markah dalam ujian dan  peperiksaan.
Akhirnya yang disalahkan bukannya diri sendiri sebaliknya orang  lain. Guru didakwa tidak pandai mengajar. Mata pelajaran dikatakan susah  atau soalan peperiksaan terlalu tinggi tahapnya.
Apabila masuk ke alam pekerjaan, sikap yang sama diamalkan. Kesannya,  kerja tidak menepati kehendak majikan, lambat menguasai sesuatu  kemahiran atau tidak dinaikkan pangkat.
Secara fitrah kita dilahirkan suka bertanya. Lihat anak kecil apabila  mula pandai bercakap, macam-macam yang mereka tanya. Kadangkala penat  melayani kerenah mereka malah ada ibu bapa hilang kesabaran.
Tetapi, itulah cara mereka belajar iaitu dengan mencuba dan  bertanya. Jika sejak kecil setiap pertanyaan anak ini dijawab dengan  baik hingga mereka puas dengan jawapan diterima, ia  satu ganjaran emosi  yang merangsang anak terus bertanya.
Lagi banyak yang ditanyakan, mereka cepat belajar malah minda mereka lebih matang berbanding kanak-kanak sebaya usia.
Hasilnya bukan saja pencapaian akademik lebih baik, tetapi pelbagai  peluang akan diberikan kepada anak menjadi pengawas, ketua kelas atau  mewakili sekolah dalam pelbagai aktiviti kokurikulum. Semuanya kerana  rajin dan berani bertanya.
Mengurus masalah adalah ciri-ciri orang yang cemerlang.  Apabila  masalah tidak diuruskan dengan baik, ia menjadi besar dan memberi  tekanan kepada pelajar.
Sebab itu pelajar perlu menyelesaikan setiap perkara yang tidak  difahami itu dengan bertanya. Mereka yang rajin bertanya keyakinan  tinggi dan mudah mendapat pekerjaan.
Orang yang suka bertanya adalah orang yang mencari jawapan dan  penyelesaian bukannya menunggu jawapan dan penyelesaian itu jatuh ke  riba.
Bertanya itu memerlukan kemahiran. Kita bertanya disebabkan kita  tidak faham, tidak tahu, untuk memastikan apa yang kita faham itu benar  atau bagi menambah maklumat sedia ada.
Kemahiran bertanya ini sesuatu yang boleh dipelajari.  Untuk  bertanya kita perlu kritis terhadap diri sendiri. Tanyakan diri dengan  soalan, Apa? Siapa? Bila? Di mana? Bagaimana? dan Kenapa?
Kemudian setiap soalan yang mahu ditanyakan itu hendaklah ditulis,  takut lupa. Apabila guru membuka ruang, rebutlah peluang itu untuk  bertanya. 
Program Motivasi Alihan pelajar yang dijalankan khusus untuk pelajar  ada menekankan ‘kemahiran bertanya’.  Malah, kualiti jawapan yang  diperoleh banyak bergantung kepada kualiti soalan yang diajukan.
Jika pelajar bijak menyusun soalan, mudahlah guru membantu. Pelajar  juga ditanamkan dengan keyakinan diri yang tinggi supaya berani bertanya  dan jangan takut disindir.
Bertanya itu mudah apabila menjadi kebiasaan. Namun, untuk mencipta  kebiasaan itu memerlukan kekuatan. Kekuatan datang apabila kita tahu  caranya.  Caranya pula perlu dipelajari dari mereka yang mahir.



0 comments:
Post a Comment