Thursday, March 10, 2011

Teknik Belajar Penentu Kejayaan

SETIAP pelajar boleh mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan mencipta kejayaan asalkan tahu teknik betul ketika belajar serta mempunyai kemahuan tinggi untuk mendaki kecemerlangan.

Pakar motivasi, Fadzli Yusof, berkata kecemerlangan pelajar bukan bersandarkan faktor biologikal semata-mata tapi disokong dengan kaedah tertentu yang boleh meningkatkan pencapaian. Beliau berkata, pelajar kurang bijak tidak perlu rasa rendah diri atau kecewa dengan keputusan kurang memberangsangkan kerana masih ada cara mengatasinya, yang penting berusaha bersungguh-sungguh untuk menggenggam kejayaan.


Pada masa sama, pelajar bijak jika terus salah menggunakan teknik belajar yang betul boleh menyebabkan kegagalan. "Semua pelajar ingin berjaya dan mencipta kejayaan malangnya tidak tahu teknik belajar yang betul. Ada menggunakan kaedah mengingat dan berbincang dengan harapan mampu mencipta kejayaan. "Mengapa tidak gunakan teknik paling mudah iaitu rasa seronok belajar? Teknik seperti ini mempunyai kuasa pemacu paling berkesan yang boleh mendorong seseorang mencipta kejayaannya sendiri," katanya. Justeru, bagi berkongsi ilmu dan teknik belajar paling mudah itu, beliau bekerjasama dengan Good Grade Consultant menganjurkan program Motivasi Kecemerlangan UPSR pada 12 Mac, 19 Mac dan 26 Mac ini di tiga lokasi berbeza iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, Universiti Sains Malaysia, (USM), Pulau Pinang dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Kuala Lumpur.

Program ini menyasarkan objektif untuk mengupas dan memberi tunjuk ajar mengenai teknik sebenar seronok belajar. Menurutnya, dengan mengetahui teknik betul, pelajar bukan saja berpeluang mempertingkatkan kemahiran tapi mencetuskan inspirasi belajar. "Latihan yang bagus tapi jika tidak dilakukan secara berterusan dan konsisten tidak mendatangkan hasil. Tapi, jika ada rasa seronok belajar dan tahu tekniknya, subjek yang bosan atau susah pun tiada masalah menguasainya. "Justeru, bagi sesiapa yang ingin tahu mengenai teknik ini, hadirlah ke program yang bakal dianjurkan," katanya. Sementara itu, Pengurus Good Grade Consultant, Mohd Farhan Johari berkata, program berkenaan dianjurkan bagi memberi kesedaran kepentingan persediaan pembelajaran untuk terus cemerlang bukan saja kepada murid tahun 6, malah tahun 5 dan 4 menyertainya. Menurutnya, pelajar perlu bijak mencetuskan rasa seronok untuk belajar dan bukan melakukannya kerana terpaksa atau disebabkan faktor lain. "Ada pelajar belajar kerana takut kena marah atau dipaksa. Mereka belajar bukan dengan kerelaan hati menyebabkan timbul rasa bosan. Menerusi program ini kami berkongsi rahsia mewujudkan rasa seronok itu. Ia boleh membuatkan mereka lebih fokus dan tidak tertekan sekali gus gembira apabila mengulang kaji," katanya. Program berkenaan mempunyai tiga slot yang memberi fokus pada teknik motivasi diri, meningkatkan keupayaan minda dan teknik memori, menjawab soalan dan strategi belajar.

Sumber artikel : Harian Metro

Friday, March 4, 2011

Pendedahan Awal Pelajar Tentang Kursus di IPTA/IPTS


Pelajar-pelajar yang menyertai ceramah panduan pemilihan kursus di IPTA/IPTS

JOHOR BAHRU, 21 April: Seramai 111 pelajar dari empat buah sekolah di daerah ini menyertai program Panduan Pemilihan Kursus di IPTA & IPTS di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), baru-baru ini.


Objektif program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai persediaan memilih aliran akademik mereka untuk melanjutkan pengajian ke IPTA selepas menamatkan pelajaran di sekolah nanti.
Program anjuran Unit Media dan Komunikasi (MEDKOM) Pejabat Menteri Besar Johor dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM itu melibatkan penyertaan pelajar tingkatan tiga dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Jaafar, SMK Tasek Utara, SMK Maktab Sultan Abu Bakar dan SMK Perempuan Sultan Ibrahim.

Di samping itu, peserta turut didedahkan dengan ceramah panduan pemilihan kursus yang ditawarkan di IPT oleh Pengarah Unit Pemasaran UTM, Profesor Dr Ahmad Kamal Idris.

Selain itu, peserta turut melawat ke beberapa tempat di UTM, termasuklah makmal aeroangkasa, pusat teknologi maklumat dan komunikasi serta perpustakaan.

Ditulis oleh : Hamirul Hairi

Tuesday, March 1, 2011

Terap Budaya Bertanya

Oleh : Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad (Pengarah Urusann MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd/Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin)

MALU bertanya sesat jalan, tetapi ia banyak berlaku dalam masyarakat kita. Kita lebih rela membiarkan diri tidak faham dan tidak tahu daripada dilabelkan bodoh serta ditertawakan. Bukan saja anak malu dan takut bertanya, orang dewasa pun sama.

Budaya malu dan takut bertanya ini berterusan dari satu generasi ke satu generasi hingga memberikan kesan negatif.

Di sekolah, anak malu bertanya pada guru walaupun tidak faham. Ini memberi kesan dalam pembelajaran dan menjejaskan markah dalam ujian dan peperiksaan.

Akhirnya yang disalahkan bukannya diri sendiri sebaliknya orang lain. Guru didakwa tidak pandai mengajar. Mata pelajaran dikatakan susah atau soalan peperiksaan terlalu tinggi tahapnya.

Apabila masuk ke alam pekerjaan, sikap yang sama diamalkan. Kesannya, kerja tidak menepati kehendak majikan, lambat menguasai sesuatu kemahiran atau tidak dinaikkan pangkat.

Secara fitrah kita dilahirkan suka bertanya. Lihat anak kecil apabila mula pandai bercakap, macam-macam yang mereka tanya. Kadangkala penat melayani kerenah mereka malah ada ibu bapa hilang kesabaran.

Tetapi, itulah cara mereka belajar iaitu dengan mencuba dan bertanya. Jika sejak kecil setiap pertanyaan anak ini dijawab dengan baik hingga mereka puas dengan jawapan diterima, ia satu ganjaran emosi yang merangsang anak terus bertanya.

Lagi banyak yang ditanyakan, mereka cepat belajar malah minda mereka lebih matang berbanding kanak-kanak sebaya usia.

Hasilnya bukan saja pencapaian akademik lebih baik, tetapi pelbagai peluang akan diberikan kepada anak menjadi pengawas, ketua kelas atau mewakili sekolah dalam pelbagai aktiviti kokurikulum. Semuanya kerana rajin dan berani bertanya.

Mengurus masalah adalah ciri-ciri orang yang cemerlang. Apabila masalah tidak diuruskan dengan baik, ia menjadi besar dan memberi tekanan kepada pelajar.

Sebab itu pelajar perlu menyelesaikan setiap perkara yang tidak difahami itu dengan bertanya. Mereka yang rajin bertanya keyakinan tinggi dan mudah mendapat pekerjaan.

Orang yang suka bertanya adalah orang yang mencari jawapan dan penyelesaian bukannya menunggu jawapan dan penyelesaian itu jatuh ke riba.

Bertanya itu memerlukan kemahiran. Kita bertanya disebabkan kita tidak faham, tidak tahu, untuk memastikan apa yang kita faham itu benar atau bagi menambah maklumat sedia ada.

Kemahiran bertanya ini sesuatu yang boleh dipelajari. Untuk bertanya kita perlu kritis terhadap diri sendiri. Tanyakan diri dengan soalan, Apa? Siapa? Bila? Di mana? Bagaimana? dan Kenapa?

Kemudian setiap soalan yang mahu ditanyakan itu hendaklah ditulis, takut lupa. Apabila guru membuka ruang, rebutlah peluang itu untuk bertanya.

Program Motivasi Alihan pelajar yang dijalankan khusus untuk pelajar ada menekankan ‘kemahiran bertanya’. Malah, kualiti jawapan yang diperoleh banyak bergantung kepada kualiti soalan yang diajukan.

Jika pelajar bijak menyusun soalan, mudahlah guru membantu. Pelajar juga ditanamkan dengan keyakinan diri yang tinggi supaya berani bertanya dan jangan takut disindir.

Bertanya itu mudah apabila menjadi kebiasaan. Namun, untuk mencipta kebiasaan itu memerlukan kekuatan. Kekuatan datang apabila kita tahu caranya. Caranya pula perlu dipelajari dari mereka yang mahir.