SETIAP pelajar boleh mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan mencipta kejayaan asalkan tahu teknik betul ketika belajar serta mempunyai kemahuan tinggi untuk mendaki kecemerlangan.
Pakar motivasi, Fadzli Yusof, berkata kecemerlangan pelajar bukan bersandarkan faktor biologikal semata-mata tapi disokong dengan kaedah tertentu yang boleh meningkatkan pencapaian. Beliau berkata, pelajar kurang bijak tidak perlu rasa rendah diri atau kecewa dengan keputusan kurang memberangsangkan kerana masih ada cara mengatasinya, yang penting berusaha bersungguh-sungguh untuk menggenggam kejayaan.
Program ini menyasarkan objektif untuk mengupas dan memberi tunjuk ajar mengenai teknik sebenar seronok belajar. Menurutnya, dengan mengetahui teknik betul, pelajar bukan saja berpeluang mempertingkatkan kemahiran tapi mencetuskan inspirasi belajar. "Latihan yang bagus tapi jika tidak dilakukan secara berterusan dan konsisten tidak mendatangkan hasil. Tapi, jika ada rasa seronok belajar dan tahu tekniknya, subjek yang bosan atau susah pun tiada masalah menguasainya. "Justeru, bagi sesiapa yang ingin tahu mengenai teknik ini, hadirlah ke program yang bakal dianjurkan," katanya. Sementara itu, Pengurus Good Grade Consultant, Mohd Farhan Johari berkata, program berkenaan dianjurkan bagi memberi kesedaran kepentingan persediaan pembelajaran untuk terus cemerlang bukan saja kepada murid tahun 6, malah tahun 5 dan 4 menyertainya. Menurutnya, pelajar perlu bijak mencetuskan rasa seronok untuk belajar dan bukan melakukannya kerana terpaksa atau disebabkan faktor lain. "Ada pelajar belajar kerana takut kena marah atau dipaksa. Mereka belajar bukan dengan kerelaan hati menyebabkan timbul rasa bosan. Menerusi program ini kami berkongsi rahsia mewujudkan rasa seronok itu. Ia boleh membuatkan mereka lebih fokus dan tidak tertekan sekali gus gembira apabila mengulang kaji," katanya. Program berkenaan mempunyai tiga slot yang memberi fokus pada teknik motivasi diri, meningkatkan keupayaan minda dan teknik memori, menjawab soalan dan strategi belajar.
Sumber artikel : Harian Metro
0 comments:
Post a Comment